Anak-anak adalah amanah yang dianugerahkan oleh Allah buat ibubapa yang terpilih sahaja. Amanah ini perlu digalas dengan baik dan penuh tanggungjawab kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada ibubapa dalam mencorak hidup mereka, termasuklah dalam aspek mengenal Allah, Pencipta kita semua.
1. Kenalkan Anak Tentang Allah
Ceritakan kepada Anak Tentang Asma’ Allah (al-Khaliq, ar-Rahman, ar- Rahim). Al-Khaliq ialah: Allah Yang Maha Mencipta. Allah hebat kerana menciptakan manusia, semut, ayam, tumbuhan, buah, langit, bumi, hujan, matahari, dan seluruh alam ini. Tiada siapa yang boleh meniru dan membuat ciptaan yang sama seperti Allah.
Tunjukkan pada anak apa yang terdapat disekeliling mereka adalah ciptaan Allah. Apabila anak melihat seekor kucing, rangsangkan pemikiran anak dengan bertanya padanya;
“Siapa yang buat kucing?” “Allah!”
“Ini daun, siapa yang buat daun ni?” “Allah!”
“Siapa yang buat buah Oren ini?” “Allah!”
Ar-Rahman ialah: Allah Yang Maha Pemurah. Ceritakan kebaikan Allah yang mencipta anggota badan kita seperti mata untuk melihat dan hidung untuk hidu bau; langit, hujan, udara dan lautan yang luas dengan percuma!
Ar-Rahim: Yang Maha Penyayang. Kasih sayang Allah kepada manusia, tumbuhan, binatang dan semua ciptaanNya seperti kasih sayang ibu kepada anak. Jika kita ada berbuat salah kepada Allah kemudian minta maaf, Allah akan segera memaafkan kita.
Ar-Rahim juga adalah kasih sayang Allah khusus untuk orang yang beriman sahaja. Mereka bakal selamat dari api neraka kerana Rahmat dari Allah.
2. Contohkan Kepada Anak Dengan Menunaikan Solat Lima Waktu.
Anak-anak suka mengikuti apa sahaja yang ibu bapa lakukan. Oleh itu, gunakan peluang ini dengan melakukan solat lima waktu berjemaah di rumah bersama ahli keluarga di hadapan anak.
Lama-kelamaan, anak akan cuba untuk ikut setiap gerak geri ibubapanya.
3. Sediakan Kelengkapan Solat
Ibubapa menyediakan kelengkapan untuk anak seperti telekung dan sejadahnya sendiri mengikut saiz badannya agar mereka selesa dan terbiasa dengan rutin bertelekung apabila tiba waktu solat. Anak-anak pasti teruja apabila melihat sejadah dan telekung yang comel disediakan untuknya.
Pastikan material kain telekung yang dibeli sejuk dan selesa.
Berikan juga kebebasan kepada anak untuk memilih warna dan design yang mereka sukai agar mereka lebih teruja dan bersemangat untuk belajar solat!
4. Hamparkan sejadah dan sarungkan Telekung kepada anak apabila tiba waktu solat dan ajak anak berjemaah.
Pastikan sejadah menghadap ke kiblat dan juga disediakan khas untuknya. Pakaikan telekung kepada anak jika anak mahu dan ajak anak solat bersama-sama dengan lembut. Jika anak enggan, hormati dan berikan anak masa. Cuba ajak lagi bila tiba waktu solat yang seterusnya.
5. Ajarkan Bacaan di Dalam Solat Kepada Anak.
• Kuatkan bacaan di dalam solat supaya anak dapat mendengar dan menghafalnya secara tidak langsung.
• Selain itu, cuba ulangkaji bacaan solat anak sewaktu bermain dengannya dengan membaca bersama-sama.
6. Berikan Reward Apabila Anak Solat dengan memeluk dan memuji.
Hargai usaha anak dengan cara memeluk anak setelah selesai solat. Ibu bapa juga boleh memuji anak dengan mengatakan: “Alhamdulillah, hari ni kakak ikut ibu ayah solat Zohor sama-sama. Allah sayang bila kita solat.”
Mudah-mudahan, reward yang kita berikan dapat menjadikan anak lebih bersemangat untuk belajar solat.
Semoga perkongsian kali ini dapat memberikan sedikit panduan awal kepada ibu bapa mendidik anak solat dengan cara yang santai dan menyeronokkan!